Tuesday, January 3, 2012

ADVOKASI MELALUI MUZIK - YOUNG VOICES SABAH BAND


BIOGRAPHY 

Young Voices Band adalah merupakan kumpulan muzik yang dianggotai oleh 6 Orang Kurang Upaya Fizikal. Kesemua mereka adalah merupakan ahli kumpulan Young Voices Sabah, sebuah kumpulan advokasi yang memperjuangkan hak-hak kesaksamaan orang kurang upaya di dalam masyarakat, yang bernaung di bawah Persatuan Rumah Amal Sabah (Sabah Cheshire Home).

Sebelum tertubuhnya kumpulan YV band ini, ahli-ahli kumpulan bermula dengan berkumpul dan menyanyi secara kecil-kecilan sekadar untuk menghiburkan rakan-rakan OKU yang lain. Bila mereka menyedari bahawa bakat nyanyian dan kebolehan bermain alat musik seperti gitar, keyboard, biola, saxophone, mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan kumpulan muzik Young Voices Band.

 

Tidak seperti kumpulan muzik dari golongan OKU yang lain, ahli-ahli YV Band menjadikan persembahan mereka sebagai medium untuk menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat bahawa OKU itu wujud dikalangan mereka dan boleh melakukan perkara yang dilakukan oleh orang lain yang bukan OKU, jika diberi peluang yang saksama. Sejak dari itu, YV Band telah banyak membuat persembahan secara langsung di majlis atau program yang dijemput oleh Jabatan Kerajaan ataupun yang dianjurkan oleh Persatuan Rumah Amal Sabah (Sabah Cheshire Home) sendiri.

Ahli-ahli kumpulan YV Band terdiri daripada Fariz Rani (Vokalis/Gitaris), Saidih Ramli (Vokalis/Gitaris/Keyboardist/Saxophonist/Violinist), Jatin Moginza (Vokalis/Gitaris), Tonny George (Gitaris/Drummer), Kelinus Mudi (Bassist) dan Mosmin Tinus (Vokalis/Gitaris). Fariz Rani, Jatin Moginza dan Tonny George adalah pengguna Kerusi Roda dan manakala Saidih Ramli, Kelinus Mudi dan Mosmin Tinus adalah pengguna Kaki Palsu.


Terdapat kepelbagaian pada Genre lagu yang dimainkan oleh YV Band yang merangkumi Balada, Slow Rock, Pop Rock dan juga Jazz dan memilih lagu-lagu Oldies dalam kebanyakkan persembahan mereka. YV Band juga menghasilkan lagu-lagu ciptaan sendiri oleh ahli kumpulan mereka seperti lagu tema Young Voices Sabah “You Are Not The Only One” dan lagu berentak Jazz “Selamanya” oleh Fariz Rani dan Saidih Ramli.

YV Band berharap agar dapat melebarkan sayap mereka ke seluruh Sabah, dengan menggunakan bakat dan kebolehan mereka dalam muzik untuk menjalankan advokasi dan kempen kesedaran tentang hak saksama OKU dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment